Wednesday, November 10, 2010

Sepasang Penderhaka?

Ramai ibubapa hari ini kecewa dengan sikap anak-anak mereka, degil, suka melawan, penyamun, perosak anak dara orang dan banyak lagi kejahatan lainnya. Air mata kekecewaan mengalir di pipi mereka, namun luka di hati tiada siapa yang tahu. Mereka tertanya-tanya, apakah ini balasannya atas kerja kuat mereka menafkahi dan membesarkan anak-anak sehingga sedewasa ini ? Keletihan lalu ingatkan kian terhilang setelah anak kian dewasa namun ia malah bertambah-tambah dengan sikap anak yang tak tahu membalas jasa. Sungguh tidak berbaloi !

Kisah Saidina Umar dan sebuah keluarga bakal menjawab teka-teki kita  semua. Mereka juga bermasalah seperti anda. 

Seorang lelaki telah datang menemui Khalifah Umar al-Khattab r.a. mengadukan hal kederhakaan anaknya. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak-hak bapanya.  Anak itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?” Umar menjawab: “Ya.” Dia bertanya lagi: “Apakah ia wahai Amirul Mukminin?” Jawab Umar: “Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran).” Anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapaku tidak pernah melakukan satu pun perkara tersebut. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula  dinamakan “Ju’olan” iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun dari al-Quran.  Umar lantas berkata kepada lelaki itu: “Kamu telah datang mengadukan kederhakaan anakmu, walhal kamulah yang telah menderhakainya. Kamulah yang telah berlaku buruj dan jahat sebelum dia berlaku demikian terhadapmu.”  Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk menghentam ibubapa yang saya pasti telah bersusah-payah untuk membesarkan anak-anak dengan sesempurna mungkin. Namun, kisah ini saya bawakan khas untuk kita para ibubapa dan bakal ibubapa mengoreksi diri berkaitan tanggungjawab kita terhadap anak-anak.

Memilih calon ibu yang terbaik

Isteri itu dipilih kerana empat perkara, keturunan, kekayaan, kecantikan dan keimanan. Maka utamakanlah isteri yang bukan sekadar tahu agama tapi mendirikan agama, sedangkan tiga perkara yang lain adalah nilai tambah yang bakal melengkapkan lagi pernikahan kalian.

Isteri yang beragama penting kerana dialah ibu rumah tangga dan menentu jejak suami dan anak-anak untuk terus melangkah ke syurga. Hal ini dapat meringankan kerja suami dari menanggung dosa isteri yang tidak solat, tidak menutup aurat dan sebagainya. Mendidik isteri yang sudah liat dalam menegakkan syariat Islam jauh lebih sukar berbanding mendidik anak yang masih kecil.

Sebelum terlupa, suami juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu agama kerana suamilah ketua keluarga yang diberi tanggungjawab oleh Allah untuk mendidik isteri dan anak-anak dengan Islam yang sebenar.Jadi pilihlah isteri dan suami yang terbaik kerana ia bakal menentukan nasib pernikahan anda dan anak-anak pada masa mendatang. Jauhilah dari ber'couple' dengan alasan apa pun kerana ia adalah permulaan yang buruk untuk pernikahan dan anak-anak anda.

Memberi nama yang terbaik

Nama adalah doa ibubapa untuk anak-anak, terkadang nama yang diberi begitu indah namun dipanggil dengan panggilan yang kurang baik atau tanpa maksud. Carilah nama dan panggilan yang terbaik untuk anak anda menggunakan buku nama-nama anak muslim yang ditulis dengan maksudnya sekali.

Elakkan juga kata-kata negatif seperti 'degil betul budak ni', tolol, bodoh, dan sebagainya. Jika anda terus memanggil mereka atau memarahi mereka dengan kata-kata seperti itu, maka jangan kecewa atau marah jika anak-anak betul-betul menjadi apa yang anda ucapkan saban hari. Lalu saat mereka melakukan kesalahan, banyakkan bersabar dan ajarlah tindakan yang sepatutnya kerana anak mendambakan tunjuk ajar daripada mereka yang lebih lama hidup di dunia ini.

Mengajarkan Al-Quran

Berapa ramai ibubapa yang mampu membaca al-Quran dengan tartil ? Berapa ramai ibubapa yang sempat meluangkan masa untuk membaca al-Quran dalam kesibukan sehariannya ? Serta berapa ramai pula yang mengajarkan anak-anak mereka dengan al-Quran ? Berapa ramai pula yang mempraktikkan isi al-Quran dalam diri dan keluarganya ? Tepuk dada, tanyalah iman.

Terkadang, ibubapa sudah terbukti soleh tapi dek kerana kesibukan kerja di luar rumah, kita terlupakan pendidikan agama anak-anak kita. Apatah lagi jika ibubapa bukan orang soleh, maka anak-anak kian terpesong. Guru yang anda gajikan untuk mendidik anak mengenal Allah, hanya sekadar pembantu dan ibubapalah guru sebenar yang mengajarkan anak-anak tentang agama dengan teladan yang baik.

Masanya untuk berubah

Jika kita pernah menderhakai anak-anak, maka kini saatnya untuk berubah. Mohonlah ampunan Allah, petunjuk dan pertolonganNya agar anda dapat meluruskan kembali diri, pasangan dan anak-anak dari terus terpesong. Mungkin sulit untuk melenturkan buluh yang telah matang namun sekurang-kurangnya anda perlu berusaha. Inilah kafarah dosa kita semalam.

Kepada anak-anak yang diderhakai, maafkanlah kesalahan ibubapamu. Betapa mereka sanggup menjaga kita dengan susah payah dan bukan dibuang selepas dilahirkan. Sayangilah mereka seperti mana mereka menyayangi kita. Apa yang terjadi, jadikanlah pengajaran agar anak-anak yang bakal kita lahirkan nanti tidak mengalami nasib yang sama seperti kita.

Mafhumnya: "Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu" [Surah al-Tahrim, ayat 6]


Artikel dari http://anak-teladan.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment