Tuesday, February 28, 2012

Perkembangan Asas Anak-Anak

       Assalamualaikum wbt. Moga keimanan kita pada hari ini bertambah. Makluman semua, di taska juga mempunyai modul asas didikan untuk anak2 kecil berusia antara 1- 3 tahun. Walaupun anak2 ini masih kecil sebenarnya ia mampu untuk belajar mengikut perkembangan mereka. Antara perkembangan asas seimbang yang difokuskan  adalah perkembangan emosi, kognitif (akal), bahasa dan fizikal . Fizikal pula terbahagi kepada dua iaitu perkembangan motor halus dan perkembangan motor kasar. Semua perkembangan ini menjadi asas dalam menilai kesediaan anak2 untuk melangkah ke prasekolah ketika berusia 4 tahun. Secara lebih detail :
 
1. Perkembangan Bahasa bertujuan meningkatkan pengusaan bahasa dikalangan anak-anak.
2. Perkembangan Kognitif bertujuan meningkatkan daya fikir anak-anak menyelesaikan sesuatu
    masalah.
3. Perkembangan Fizikal  Motor Kasar bertujuan meningkatkan kekuatan otot kaki dan tangan
4. Perkembangan Fizikal Motor Halus   bertujuan meningkatkan koordinasi mata dan tangan anak-anak
    serta daya tumpuan anak-anak ketika melakukan aktiviti.
5.Perkembangan Emosi bertujuan meningkatkan sikap kerjasama, berkongsi , toleransi dan sikap berkasih
   sayang dalam diri anak-anak.
   
        Di taska, anak didikjuga  belajar untuk berdikari sendiri seperti meletakkan botol susu ditempat yang telah disediakan setelah minum, mengambil beg sendiri ketika mandi, bahkan anak-anak juga diajar memilih pakaian sendiri, mengenal tuala sendiri ,mengambil pampers sendiri walaupun seawal usia setahun lebih. Aktiviti ini secara tidak langsung menjadikan anak2 lebih cepat belajar dan secara tidak langsung mereka seronok kerana diberi kepercayaan untuk lakukan segala aktiviti asas diri dengan pantauan teacher taska. Dalam hal begini, pasti menuntut kesabaran teacher taska untuk melatih anak2 pada peringkat awalnya, tetapi setelah anak2 sudah terbiasa mereka sendri melakukan tanpa diminta oleh teacher. Moga kita menjadi pendidik yang mampu meningkatkan identiti muslim acuan Al-quran.


Friday, February 10, 2012

Cinta Kepada lelaki Ghaib Itu

Alhamdulillah, baru beberapa hari lepas kelahiran junjungan Nabi Muhammad S.a.w yang disambut oleh seluruh umat islam. Moga kita tetap terus berusaha mencontohi Rasulullah dari seluruh aspek kehidupan dan menjadikan sunnah Rasulullah sebagai amal pembuktian cinta kita kepada Rasulullah. InsyaAllah, ingin berkongsi artikel yang menarik untuk dikongsikan bersama buat semua, bukan mudah untuk memperkenalkan Rasulullah kepada anak-anak didik kecil ditadika dan taska bahkan kita yang dewasa ini pun belum tentu benar mengenali 
Rasulullah. Moga kecintaan kita kepada Rasulullah terus bertambah dan tetap subur di hati kita dengan sering berselawat ke atasnya. Selamat membaca ya :).

Bagaimana hendak mencintai seorang manusia yang kita tidak pernah jumpa?
Tidak pernah bertentang mata.
Tidak pernah melihat wajah dan susuk tubuhnya.
Soalan itu menerjah fikiran kita hari ini, tatkala diajak mengasihi seorang lelaki Arab bernama ‘Muhammad bin Abdullah’.
Apatah lagi yang diajak itu adalah anak-anak.
Mungkinkah mereka jatuh cinta dengan ‘lelaki itu’?
Lelaki yang tidak pernah ditemui. Tidak pernah dikenali.
Namun mencintai seorang secara ghaib bukan sesuatu yang mustahil. Lihat geng-geng rambut pacak itu. Mereka itu sedang bercinta dengan siapa? Cuba tanya siapa pelopor rambut pacak itu, di mana kampungnya, apa makanan kegemarannya, siapa isterinya, apa nama anak-anaknya dan mengapa nama mereka begitu, dia bermain bola dengan kelab mana, pasti rambut pacak itu mudah disusuli dengan jawapan lengkap pada soalan-soalan itu tadi.
Tetapi pernahkah mereka bertemu dengan David Beckham?
Bertuturkah mereka dengan bahasa Beckham?
Pernah ke Manchester?
Pernah ke Madrid?
Pernah ke Los Angeles?
Majoritinya hanya menggelengkan kepala.
Tetapi mereka sangat memuja lelaki itu. Baik lelaki, mahu pun perempuan. Mereka tidak pernah bertemu dengannya, tetapi ‘amat menyintainya’.

Tanyalah budak muda rambut lebat sikat ke depan, kurus kering mendedah tulang rusuk dengan gaya seksi seperti K-Pop yang dipaksa menjadi M-Pop, mereka itu sedang bercinta dengan siapa? Pernahkah mereka ke bumi Sonata? Bertuturkah mereka dengan bahasa Korea? Pasti sahaja genre yang dipaparkan itu lengkap dengan info sirah kehidupan Kim Jaejoong dan Jung Ji-Hoon.
Generasi muda kita memang ramai yang sedang bercinta dengan cinta yang ghaib. Menyintai seorang yang tidak pernah ditemui.
Keupayaan cinta yang sepatutnya membolehkan mereka mencinta lelaki ghaib paling hebat, Muhammad bin Abdullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
SEPERTI AL-QURAN
Ali bin Hussein bin Ali radhiyallahu ‘anhum pernah berkata, “Kami diajari dengan Seerah sebagaimana kami diajari dengan al-Quran”
Seorang cicit juga sudah masuk ke cabaran itu.
Mencintai moyangnya, seorang Rasul yang mulia, lelaki ‘ghaib’ yang tidak pernah ditemuinya. Namun cintanya kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam datang hasil pendidikan. Beliau didedah, diajar, dibentuk dan membesar dengan mempelajari Sirah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, seperti mana dampingannya dengan al-Quran itu sendiri.
Apakah yang menemani anak-anak kita?
Cukupkah beberapa minit di sekolah mereka didedahkan kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam?
Sesungguhnya anak-anak kita mampu mengasihi ‘lelaki ghaib yang tidak pernah ditemui itu’.
Asalkan mereka dididik mengenalinya oleh kita yang terlebih dahulu perlu bertanya, “cintakah aku kepada lelaki ghaib itu?”

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” [Al-Ahzaab 33: 56]

Petikan artikel dari website Saifulislam.com.
Moga Bermanfaat :).