Alhamdulillah , panjatkan kesyukuran pada Allah s.w.t kerana saat ini masih diberi ruang dan kesempatan untuk terus memakmurkan bumi sebagai khalifah. Tanpa sedar ,sekejap sahaja ramadan akan berakhir.Sebagai penutup aktiviti ramadan di tadika, hadiah diberikan kepada adik Faiz dan adik Nazeem yang berusaha untuk berpuasa penuh di tadika. Syabas, moga menjadi pendorong kepada adik-adik yang lain di tadika. Mari kita renung sejenak, apakah masih ada peluang untuk bertemu dengan Ramadan yang akan datang, hanya Allah jualah yang mengetahuinya. Terkenang kita kepada peristiwa bagaimana Nabi SAW ketika menaiki tangga-tangga mimbar masjid baginda SAW, mengaminkan satu persatu yang disebutkan oleh Jibril Alaihi as-Salam. Di antaranya ialah sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi SAW:
“Jibril mendatangiku seraya berkata; “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadan, lantas tidak mendapat ampunan, kemudian mati, maka ia masuk Neraka serta dijauhkan Allah (dari RahmatNya)” Jibril berkata lagi, “Ucapkan “Amin”. Maka kuucapkan”Amin”
Tidakkah amaran ini cukup menggerunkan kita. Sejauh mana kita telah mengisi Ramadan ini dengan sembahan ibadah yang cukup untuk menagih keampunan Allah yang ‘tidak murah’ itu? Berhasilkah kita untuk mendapat nilai Taqwa? Hanya hati kecil di dalam diri masing-masing yang mampu menyebut kadar usaha yang telah dilakukan sepanjang bulan ini. Pujilah Allah bagi mereka yang telah berpenat lelah dan dukacitalah sedalam-dalamnya bagi mereka yang lalai dan leka. Jika Ramadan tidak mampu memperbaiki diri, maka pada hari, minggu dan bulan manakah lagi yang boleh menjadi penyelamat?
Selepas Ramadan berlalu, para Salafus-Saleh sentiasa memohon kepada Allah agar segala amal kebaikan yang dilakukan diterima oleh Allah walaupun setelah enam bulan Ramadan berlalu. Tidak sukar untuk melihat tanda-tanda amal kebaikan seseorang itu diterima. Jika selepas Ramadan, taat dan patuhnya seseorang itu kepada Allah berkekalan maka itulah sebesar-besar nikmat kurniaanNya. Inilah yang Allah perintahkan kepada kita. FirmanNya:
“Dan beribadahlah kamu kepada Tuhanmu sehingga datang kepada kamu sesuatu yang pasti (Al-Yaqeen, iaitu maut)” Al-Hijr:99
Akan tetapi, jika ibadah itu bermusim, setaraf dengan bolasepak, durian atau demam, maka celakalah kesudahannya. Pelbagai tanda dapat dilihat dari ‘tertolak’nya amalan seseorang itu. Jika di bulan Ramadan dia boleh hadir ke masjid setiap hari untuk Solat Tarawih yang sunat, selepas Ramadan dia tidak mampu untuk hadir ke masjid untuk lima Solat Fardhu yang wajib. Jika di bulan Ramadan lidahnya basah dengan Al-Quran dan zikir, maka selepas Ramadan telinganya kembali disumbat dengan alunan suara-suara dan irama lalai yang mengheret kepada kemurkaan Allah. Semoga Allah melindungi kita dari keadaan cela seperti ini.
Saban tahun apabila berlalunya Ramadan, kita akan meraikan Aidilfitri. Kita raikan ia dengan Takbir, Tasbih dan Tahmid. Tetapi pernahkah kita dikunjungi tanda tanya, apakah sebenarnya yang kita raikan?
Sesungguhnya, yang kita raikan adalah hakikat diri kita sebagai seorang Muslim. Kita raikan anugerah terbesar pemberian Allah ini. Islam yang telah memuliakan kita, meletakkan harga diri kita yang tinggi dan Islam yang memelihara martabat kemanusiaan kita. Islam itu adalah Islam yang telah disempurnakan oleh Allah, Islam yang menjadi penyempurna nikmat Allah kepada kita dan Islam yang telah diredhaiNya sebagai jalan hidup. Pujilah Allah di atas nikmat ini.
“Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada kami ke arah ini, yang tidaklah kami ini beroleh panduan hidayat jika tidak diberi petunjuk oleh Allah” (Al-A’raaf: 43)
Kerana Islam, kita terpelihara daripada menjadi hamba kepada dunia dan harta benda. Kerana Islam juga, kita terselamat daripada menjadi hamba kuli kepada nafsu. Dengan Islam juga kita bebas merdeka daripada menjadi hamba kepada sesama manusia.
Maka isikanlah keraian Aidilfitri kali ini dengan semangat juang yang tinggi. Semangat mahu melihat kalimah Allah itu ditinggikan mengatasi segala yang lain. Di situlah kunci kejayaan. Pencapaian material semata-mata tidak memberikan sebarang jaminan keselamatan sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Salam Aidilfitri dari warga TCB, moga kita menjadi hamba Allah yang bersederhana dan bersyukur di atas segala kurniaan Allah sw.t.Taqabballahuminnawaminkum.