Bismillah walhamdulillah…
Bersyukur Allah masih beri kesempatan untuk kita menjalani
hari-hari yang berlalu bersama-sama dengan yang tersayang. Suami, isteri,
anak-anak, adik-beradik, ibubapa, semualah yang kita sayang.
Gambar Hiasan |
Pernah tak, anak-anak kita (atau kita dengan ibubapa masa
zaman kanak-kanak dulu) bila ditanya, “Kakak, besar nanti kakak mahu jadi apa?”.
Dan ketika itu anak kita menjawab dengan bangganya , “Kakak nak jadi macam ibu
lah,jadi cikgu. Hari Guru nanti boleh dapat hadiah banyak-banyak”.
Ataupun, jika ayahnya seorang doktor, “Kakak nak jadi macam
ayahlah, jadi doktor. Boleh tolong ramai orang yang sakit supaya mereka sembuh”.
Nampak macam sempurna sangat kan? Ataupun, jika ayahnya
seorang petani kampung, “Kakak nak berjaya, nanti kakak boleh tolong ayah. Ayah
berehat saja di rumah, biar kakak yang cari duit untuk keluarga kita”.
Tidak kisahlah, apa pun pekerjaan ibu atau ayahnya, apabila
si anak menjawab dengan jawapan-jawapan seperti di atas, hati mana yang tidak
tersentuh dan tersenyum bangga mendengarnya. Terasa seperti kita ini hero
(untuk si bapa) dan heroin (untuk si ibu) di mata mereka. Sekalipun tujuan
mereka kadang-kadang kurang logiknya pada kita yang dewasa, kita tetap bangga
dan besar hati, kerana anak-anak kita begitu mengangkat kita sebagai contoh
mereka tentang siapa mereka 10 atau 20 tahun akan datang.
Inilah yang dikatakan ibubapa sebagai qudwah dalam keluarga.
Oleh kerana pendidikan bermula dari rumah, maka ibubapalah orang yang paling
bertanggungjawab terhadap isu pendidikan anak-anak sejak awal lagi. Bukankah,
anak-anak amanah dari Allah. Sebab itu, Islam sangat memperhatikan tarbiyah
(didikan) anak-anak bukan sahaja sejak si ibu mengandung, bahkan sejak sebelum
alam perkahwinan lagi tarbiyah telah bermula.
Rasulullah s.a.w bersabda : Setiap anak dilahirkan dalam
keadaan fitrah. Kedua orang tuanya yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nasrani
atau Majusi. (HR Bukhari)
Anak-anak menjadikan ibubapa sebagai teladan dalam setiap tingkah
laku. Ibubapa terinspirasi dari teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.
Namun, ibubapa hanya manusia biasa, tidak sempurna. Maka jangan lupa ya,
kenalkan anak-anak dengan Nabi yang menjadi kecintaan kita ini. Moga keluarga
kita dilimpah sakinah, mawaddah dan rahmah.
Rujukan:
1. Cara Nabi s.a.w Menyiapkan Generasi ~ Dari
Sebelum Lahir-Usia Pra Nikah. (Syaikh Jamal Abdurrahman)
No comments:
Post a Comment