Thursday, May 9, 2013

Ibubapa : Hero & Heroin Keluarga


Bismillah walhamdulillah…

Bersyukur Allah masih beri kesempatan untuk kita menjalani hari-hari yang berlalu bersama-sama dengan yang tersayang. Suami, isteri, anak-anak, adik-beradik, ibubapa, semualah yang kita sayang.

Gambar Hiasan

Pernah tak, anak-anak kita (atau kita dengan ibubapa masa zaman kanak-kanak dulu) bila ditanya, “Kakak, besar nanti kakak mahu jadi apa?”. Dan ketika itu anak kita menjawab dengan bangganya , “Kakak nak jadi macam ibu lah,jadi cikgu. Hari Guru nanti boleh dapat hadiah banyak-banyak”.

Ataupun, jika ayahnya seorang doktor, “Kakak nak jadi macam ayahlah, jadi doktor. Boleh tolong ramai orang yang sakit supaya mereka sembuh”.

Nampak macam sempurna sangat kan? Ataupun, jika ayahnya seorang petani kampung, “Kakak nak berjaya, nanti kakak boleh tolong ayah. Ayah berehat saja di rumah, biar kakak yang cari duit untuk keluarga kita”.

Tidak kisahlah, apa pun pekerjaan ibu atau ayahnya, apabila si anak menjawab dengan jawapan-jawapan seperti di atas, hati mana yang tidak tersentuh dan tersenyum bangga mendengarnya. Terasa seperti kita ini hero (untuk si bapa) dan heroin (untuk si ibu) di mata mereka. Sekalipun tujuan mereka kadang-kadang kurang logiknya pada kita yang dewasa, kita tetap bangga dan besar hati, kerana anak-anak kita begitu mengangkat kita sebagai contoh mereka tentang siapa mereka 10 atau 20 tahun akan datang.

Inilah yang dikatakan ibubapa sebagai qudwah dalam keluarga. Oleh kerana pendidikan bermula dari rumah, maka ibubapalah orang yang paling bertanggungjawab terhadap isu pendidikan anak-anak sejak awal lagi. Bukankah, anak-anak amanah dari Allah. Sebab itu, Islam sangat memperhatikan tarbiyah (didikan) anak-anak bukan sahaja sejak si ibu mengandung, bahkan sejak sebelum alam perkahwinan lagi tarbiyah telah bermula.

Rasulullah s.a.w bersabda : Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanya yang menjadikannya sebagai Yahudi, Nasrani atau Majusi. (HR Bukhari)

Anak-anak menjadikan ibubapa sebagai teladan dalam setiap tingkah laku. Ibubapa terinspirasi dari teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Namun, ibubapa hanya manusia biasa, tidak sempurna. Maka jangan lupa ya, kenalkan anak-anak dengan Nabi yang menjadi kecintaan kita ini. Moga keluarga kita dilimpah sakinah, mawaddah dan rahmah.

Rujukan:
1. Cara Nabi s.a.w Menyiapkan Generasi ~ Dari Sebelum Lahir-Usia Pra Nikah. (Syaikh Jamal Abdurrahman)